Tuesday 4 August 2015

BILA BABY SUKA MENGEMPENG

Gambar hiasan, Google


Assalamualaikum dan hai mommies,

Tajuk kali ini agak menarik sebab soalan ini cikgu selalu dapat dari ibu-ibu. 

Mengempeng
Mengempel
Melekat

Atau macam-macam lagi istilah yang ibu guna untuk menerangkan keadaan baby yang suka menyusu lama-lama, bila dilepaskan marah-marah dan terjaga dari tidur. 

"..baby jenis suka mengempel, suka df sampai tetido, bila cabut dia mengamuk2 marah, macam mana ye nak atasi masalah ni? Dah nak masuk kerja ni, risau pulak.."

Secara purata, satu sesi penyusuan mengambil masa selama 20 hingga 45 minit. Biasanya setelah bayi kenyang mereka akan memperlahankan hisapan seterusnya melepaskan puting susu dan terus tidur.

Bayi mempunyai 2 jenis hisapan:
1. Nutritive suckling - hisapan peringkat pertama sesi menyusu, semasa betul-betul lapar.

2. Non-nutritive suckling - hisapan di peringkat kedua penyusuan. Pattern hisapan lebih perlahan diselangi dengan ritma hisap-rehat-hisap-rehat sehingga tertidur.

Semasa menyusu, bayi memerlukan kedua-dua jenis hisapan ini untuk mendapat kuantiti susu yang diinginkan dan kepuasan semasa menyusu (pleasure of suckling) yang hanya boleh diberikan melalui proses penyusuan semasa direct feeding. Kedua jenis hisapan ini akan melengkapkan keperluan fizikal, emosi dan psikologi bayi (nutrition and nurturing).

Sesetengah bayi sememangnya suka berada dalam dakapan ibu kerana bau badan ibu, rasa hangat dipeluk ibu dan rasa selamat sebab bersama orang yang dikenalinya sejak dari dalam rahim lagi. Tidak hairanlah jika bayi sangat suka mengempeng dengan ibu lama-lama.

Tak ada halangan kepada anda untuk terus menyusukan bayi anda selama yang bayi anda mahu pada setiap sesi kerana ia bagus untuk penghasilan susu anda (konsep demand vs supply). Tetapi ada beberapa perkara yang anda perlu tahu dan monitor.

Sesi penyusuan yang terlalu lama juga adalah tanda-tanda kepada:

1. Lekapan yang tidak betul. (Poor latch)

Lekapan yang salah menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara. Bayi tidak mendapat susu yang diperlukannya. Menjadikan dia mengambil masa yang lama untuk mendapat kuantiti yang badan dia perlukan.

Jika anda merasa sakit setiap kali menyusu, periksa semula lekapan bayi semasa menyusu dan dapatkan bantuan dari kaunselor terdekat jika masih ragu-ragu.

2. Posisi semasa menyusu yang tidak betul. (Wrong position)

Posisi bayi semasa menyusu juga boleh menyebabkan bayi tidak mendapat kuantiti susu yang mencukupi dari payudara ibu. Sebab bila posisi bayi tidak betul, aliran susu dari payudara ke bayi tidak lancar. Pastikan kepala, badan dan punggung bayi semuanya menghadap ke arah ibu semasa menyusu, dan bayi tidak hanya memusingkan kepalanya sahaja ke arah payudara ibu.

Contoh: Cuba anda toleh ke kanan dan telan air liur? Senang ke susah nak telan?

Bayi kita pun macam tu, sudahlah sakit leher, susu pun tak dapat kalau posisi kepala dan badannya tidak betul. Kesian anak kita..

3. Pecutan pertumbuhan. (Growth Spurt)

Sesi penyusuan yang lebih lama dari biasa juga menandakan bayi sedang mengalami pecutan pertumbuhan di mana badannya sedang membesar lebih cepat dari waktu sebelum ini. Jadi badannya memerlukan lebih banyak susu pada waktu ni, signal yang diberi kerap menyusu, atau menyusu lama dan meragam serba tak kena. Biasanya keadaan ini berlarutan untuk sementara, lebih kurang 2 minggu sahaja (mungkin kurang atau lebih).

Growth spurt biasa berlaku pada usia bayi: 7-10 hari, 2-3 minggu, 4-6 minggu, 3 bulan, 4 bulan, 6 bulan dan 9 bulan. Dan ia tidak semestinya berlaku pada usia yang sama bagi setiap bayi, ada yang mengalaminya setiap bulan, 2 bulan sekali dan sebagainya mengikut pertumbuhan bayi masing-masing.

Periksa 3 perkara ini dan monitor penyusuan bayi anda.



"Baby saya menyusu lama sangat, saya confuse dia kenyang ke tak. Takut tak cukup susu plak.."

Faktor asas yang anda perlu ambil kira kalau bayi menyusu terlalu lama adalah:

  • Warna urin bayi
  • Warna dan jenis najis bayi
  • Kenaikan berat badan bayi
Jika normal, maksudnya bayi mendapat susu yang cukup. Rujuk artikel ini untuk kenalpasti.



"Baby saya kuat sangat mengempeng, sampaikan check up dah terlebih berat dia cikgu. bila burp muntahkan susu tapi masih nak menyusu, mohon pendapat cikgu.."

Bayi ini mungkin overfeeding sebab jumlah yang diminum dah melebihi kapasiti yang dapat disimpan perutnya (baby muntah lepas menyusu) dan berat dah terlebih. Ibu perlu faham kadangkala bayi hanya mahukan keselesaan berada dekat dengan degupan jantung ibu. Jika anda dalam situasi ini, cuba amalkan membawa bayi anda dalam carrier atau wrap apabila bayi sudah kelihatan kenyang.

*Tanda-tanda kenyang termasuklah bayi tertidur selepas sesi menyusu, menghentikan hisapan, meleraikan genggaman tangan dan melepaskan puting dari mulutnya.

Bagi situasi bayi overfeeding atau menyusu terlalu lama, apabila berada di dalam wrap dan carrier, bayi rasa lebih rapat dengan anda. Anda dapat train baby untuk tidur selepas baby mula terlelap dan melepaskan puting dari mulutnya. Bayi sangat sukakan nyanyian zikir atau lullaby dari ibunya. Sedikit belaian untuk mendodoikan bayi pun sangat bagus untuk memastikan bayi tidur lebih lena. Bayi boleh diletakkan ke baby cot atau tilam bila dah lena. Ia memerlukan latihan ya ibu, inshaAllah ia boleh membantu anda yang bekerja.




P/S: Cikgu dulu guna kain batik lepas aje untuk carry Aydin di rumah selepas berpantang sampai usia 6 bulan lebih juga, sebab dia pun suka mengempeng. Selepas itu, pattern tidurnya makin konsisten. Bila dah mula menyusur dan bergolek-golek saya monitor eksplorasinya di lantai pula.






Cikgu Susu Anda





Rujukan tambahan: Unit Laktasi PPUM dan Kellymom


Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

.



No comments:

Post a Comment