Baru-baru ini, Ummi diajukan soalan oleh seorang ibu tentang bayi jaundis dan penyusuan susu ibu. Tanya beliau, adakah perlu menghentikan penyusuan jika bayi terkena jaundis? Jawapannya...
JENG..JENG...JENG..
Ibu-ibu baca sampai habis ya!
APA ITU JAUNDIS?
Penyakit kuning atau jaundis (jaundice) berlaku apabila mata, bahagian dalam mulut dan kulit menjadi kekuningan kerana mendapan sejenis bahan pigmen yang dipanggil bilirubin pada tisu badan.
BAGAIMANA JAUNDIS TERJADI?
1. Semasa dalam kandungan, bayi memerlukan sel darah merah yang lebih tinggi daripada orang dewasa. Sel darah merah ini membawa oksigen yang penting untuk tumbesaran bayi.
2. Apabila bayi lahir, paru-paru bayi telah berfungsi dan meningkatkan kandungan oksigen dalam darah bayi. Jadi, sel darah merah extra dalam badan bayi dah tak diperlukan lagi dan akan termusnah dalam badan bayi secara semulajadi.
3. Sel darah merah yang musnah ini menghasilkan zat besi dan BILIRUBIN. Zat besi akan disimpan dalam badan bayi manakala bilirubin akan diproses dalam hati bayi dan dibuang melalui najis.
4. Bilirubin yang sudah diproses akan dialirkan ke hempedu dan kemudian ke usus bayi.
5.Tapi hati bayi masih belum matang, pemprosesan bilirubin ini tidak begitu efisien. Jadi bilirubin yang dah diproses ada juga yang diserap balik oleh usus dan masuk semula ke darah bayi. Jadi ia menyebabkan kandungan bilirubin dalam darah masih tinggi.
6. Ianya kitaran yang berulang selagi bilirubin tidak habis disingkirkan dari badan bayi.
JENIS-JENIS JAUNDIS
Jaundis bayi yang baru lahir dikenalpasti melalui tempoh masa ia dikesan.
Jaundis fisiologikal
- bermula hari ke-2 hingga ke-5 kelahiran
- mencapai paras tertinggi pada hari ke 3-5 dan mula turun dan kembali normal selepas hari ke 7-10
- ia proses biasa untuk bayi baru lahir dan kebanyakan bayi kembali normal tanpa sebarang masalah
- penyusuan boleh diteruskan
Jaundis susu ibu
- berlaku lebih lama dari jaundis fisiologikal, boleh sampai 3-4 minggu
- biasanya dikesan selepas hari ke 4 atau ke 5 kelahiran
- bayi yang ada jaundis susu ibu biasanya byi yang cukup bulan yang sihat, menyusu dengan baik dan tiada tanda-tanda tak cukup susu
- Antara penyakit yang boleh sebabkan jaundis susu ibu yang berterusan adalah: penyakit tiroid, jangkitan kuman, penyakit keturunan dan perbezaan jenis darah ibu dan anak
- paras bilirubin akan berkurangan selang beberapa lama
- penyusuan masih boleh diteruskan
Jaundis kekurangan susu
- berlaku apabila bayi tidak mendapat susu yang cukup
- jika bayi tidak dapat susu yang cukup, paras bilirubin akan menjadi lebih tinggi
- jaundis ini BUKAN disebabkan oleh susu ibu, tetapi kerana bayi KEKURANGAN susu ibu
- dikesan seawal minggu pertama kelahiran tetapi boleh berlanjutan jika bayi tidak menyusu dengan betul
- penyusuan yang betul perlu diteruskan
BAGAIMANA MERAWAT JAUNDIS?
1. Jaundis yang tak teruk tak perlukan rawatan lanjut.
2. Ibu perlu pastikan bayi disusukan sekerap mungkin dan mendapat cukup susu.
3. Bayi yang ada jaundis biasanya mengantuk dan mungkin sukar untuk disusukan. Ibu perlu merangsang dan mengejutkan bayi setiap kali sampai waktu penyusuan.
4. Rawatan fototerapi biasanya diperlukan jika paras bilirubin tinggi. Ini bergantung kepada umur dan saiz bayi dan sama ada bayi cukup bulan ataupun tidak.
5. Jika bayi perlu menjalani fototerapi, sebaik-baiknya ibu tidak dipisahkan dari bayi dan ibu mesti menyusukan bayi sekerap mungkin.
6. Jika ibu tak dapat bersama bayi, perah susu untuk diberikan kepada bayi.
CARA ELAKKAN JAUNDIS YANG TERUK
1. Mulakan penyusuan seawal mungkin iaitu sejam selepas bersalin dan menyusu on demand (bila-bila masa bayi menunjukkan signal mahukan susu).
2. Susu awal iaitu kolostrum, adalah pelawas semulajadi yang dapat menyebabkan najis dikeluarkan dari usus bayi.
3. Bayi yang dapat susu yang cukup, akan membuang najis dengan kerap, jadi bilirubin dapat dikeluarkan dari badan.
4. Pastikan ibu menyusu dengan betul (posisi dan lekapan) supaya bayi mendapat susu yang cukup dan susu dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara ibu dan jaundis berkurangan dengan cepat.
Berbalik kepada soalan ibu tadi kepada Ummi, adakah perlu menghentikan penyusuan jika bayi terkena jaundis?
Jawapannya: Penyusuan susu ibu perlu diteruskan seperti biasa malah ibu mesti menyusukan bayi sekerap mungkin. Ibu tidak perlu menghentikan penyusuan susu ibu KECUALI atas arahan tertentu dari doktor disebabkan oleh komplikasi dan alasan tertentu.
Senyum ibu.
Susui anakmu dengan gembira.
Susumu pengubat duka laranya.
Selamat menyusu,
Ummi, PumpOnTheGo
Detail sangat info. Trima kasih kerana berkongsi :) Jom lawat www.kindhearty.blogspot.com
ReplyDelete