Wednesday, 8 January 2014

KENAPA MEMILIH PENYUSUAN SUSU IBU?

Salam dan selamat sejahtera

Tahniah kerana memilih untuk menyusukan bayi anda. 

Mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa memberi susu ibu adalah tuntutan bagi yang beragama Islam, sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran; al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang hendak menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan."

Walau apa pun sebab anda memilih untuk menyusukan anak anda, tahniah kerana anda ibu yang hebat. Susu ibu mengandungi khasiat yang tidak dimiliki susu lain di dunia. Antara kebaikan penyusuan badan ialah:

1. Meningkatkan sistem imunisasi, psikologi, dan membantu memberi nutrisi yang cukup kepada bayi.

2. Penyusuan eksklusif susu ibu pada 6 bulan pertama dalam jangka hayat bayi adalah cukup untuk menyokong tumbesaran bayi secara optimum. Ia juga dapat mengelakkan jangkitan pada usus dan masalah pernafasan bayi. 

3. Penyusuan badan dapat membantu mengecutkan rahim ke saiz asal sebelum mengandung dan membantu ibu menurunkan berat badan secara semulajadi kerana penyusuan badan bertindak membakar lemak-lemak di dalam badan (sebab itulah ibu menyusu memerlukan 500 kalori sehari!).

4. Penyusuan badan dapat mengelakkan risiko ibu dari terkena kanser payudara dan kanser ovari. Risiko akan semakin berkurang dengan peningkatan tempoh penyusuan susu ibu. Ini bermakna semakin lama ibu menyusukan anak, semakin berkurang risiko terkena kanser..wow!

5. Susu ibu meningkatkan pertumbuhan otak dan IQ anak kerana susu ibu adalah sel hidup yang dipindahkan dari badan ibu ke badan anak dan mempunyai kandungan DHA yang lebih tinggi berbanding susu formula. DHA adalah satu nutrisi penting untuk perkembangan otak anak.

6. Susu ibu sentiasa tersedia untuk si anak, dan sentiasa berada pada suhu mengikut suhu badan ibu. Suam lemak manis gitu.. Sebab itu bayi yang menyusu suka melekap dengan ibunya!

7. Susu ibu mengandungi imuniti terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yang menyusu badan jarang sakit. 

Satu fakta menarik, kulit ibu boleh mengenalpasti kuman atau virus yang terdapat pada badan dan kulit bayi, lalu badan ibu akan menghasilkan susu yang mengandungi antibodi yang boleh melawan kuman tersebut. Badan ibu mengesan kuman tersebut melalui pelukan dan ciuman ibu pada anaknya, menarik bukan!

Bayi yang menyusu badan juga terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear infections dan macam-macam lagi.

8. Penyusuan badan dapat membantu menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu.

9. Susu ibu mempunyai nutrisi lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan bayi.

10. Susu ibu yang melahirkan anak pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat menghasilkan susu begini.

11. Susu formula meningkatkan risiko penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes. Ramai ibu yang tidak tahu bahawa kandungan glukosa dalam susu ibu lebih tinggi berbanding dalam susu formula tetapi kenapa bayi menyusu susu ibu tidak terdedah kepada diabetes? 

Ini kerana glukosa dalam susu ibu adalah dalam bentuk gula ringkas yang senang dihadam dan ditukar ke bentuk tenaga oleh badan bayi.

12. Bayi yang menyusu badan membantu mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.

13. Susu ibu mengurangkan risiko penyakit asma.

14. Susu formula mungkin meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)

15. Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Kajian menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mempunyai 21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang menyusu badan selama 6 bulan. 

16. Penyusuan badan melindungi bayi daripada beberapa masalah penglihatan.

17. Bayi yang minum susu formula lebih berisiko untuk obesiti. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat kolestrol tinggi.

18. Penyusuan badan sebagai kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu badan tidak datang haid selama 6 bulan atau lebih. 

Tetapi bukanlah bermakna ibu yang menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif kerana proses ovulasi masih berlaku walaupun tanpa haid. 

19. Penyusuan badan lebih mudah berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.

20. Susu formula sangat mahal. Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan = RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah.

21. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam. Ianya mengurangkan tekanan darah. 

Ini kerana aktiviti penyusuan susu ibu membantu membebaskan hormon gembira dan tenang untuk ibu dan bayi.

22. Susu ibu lebih sedap berbanding susu formula. 

23. Susu ibu yang segar (fresh breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah anti-bakteria.

24. Penyusuan susu ibu membantu pembentukan rahang dan gigi bayi yang baik. Penyusuan adalah baik untuk pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian.

Tahniah sekali lagi kerana memilih penyusuan susu ibu! 

Anda hebat! 

Selamat menyusu! 

3 comments:

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
    Saya ada soalan, anak saya sudah 10 bulan dan masih fully breastfeed. Anak saya suka menyusu dalam keadaan menonggeng, maksud saya tidak menyusu dalam posisi yang betul.. Bila baring pun dia akan menangkupkan badan dia untuk menyusu, Dia akan minum susu sehingga terlelap dalam keadaan menangkup. Adakah cara yang salah menghisap susu ini akan menyebabkan susu saya kurang?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam puan. Tidak perlu risau jika anak puan ada posisi yang pelik semasa menyusu kerana apabila anak2 kita mencapai usia 6 bulan ke atas, mereka cenderung untuk membuat sesuatu benda mengikut kesukaannya, contohnya mereka mula ada makanan kegemaran, permainan kegemaran, begitu juga dengan posisi menyusu favorite mereka. Selagi puan dan anak puan selesa tidak ada salahnya pada posisi itu. Tapi jika puan rasa sakit atau tak selesa, eloklah puan tukar posisi tu ya. 😊

      Delete
  2. Mohon share di blog sy ye puan... :-)

    ReplyDelete