Friday 26 December 2014

INDUCED LACTATION (CETUSAN PENYUSUAN SUSU IBU)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Baru-baru ini, saya banyak mendapat kes penyusuan anak angkat (induced lactation) dan kes penyusuan semula (relactation - akan dibincangkan dalam post seterusnya). SubhanAllah, ibu-ibu ini sungguh kuat pada hemat saya. Penuh semangat, memohon bantuan kerana yakin kepada diri dan perintah Allah.


Soalan Ibu:

Cikgu, saya ada ambil anak angkat. Sekarang sudah berusia 2 bulan setengah. Saya baru nak mencuba menyusukannya tapi susu ibu tiada.

Adakah berjaya untuk saya hasilkan susu ibu untuk bayi saya? Jika ya bagaimana caranya?


Jawapan Cikgu Susu:

Tahukah anda, ciptaan badan seorang wanita sangatlah unik. Bahagian payudara wanita boleh menghasilkan susu walaupun tidak pernah hamil atau bersalin. MashaAllah, hebat ciptaan Allah.

Penyusuan anak angkat boleh dan tidak mustahil dilakukan, dengan syarat minda, niat dan tindakan ibu selari mengikut cara. Ibu perlu terus kuat dan tekad sehingga proses ini selesai dan susu mula dihasilkan dengan optimum. Proses cetusan penyusuan susu ibu untuk anak angkat dipanggil Induced Lactation.

Proses ini harus dilakukan seawal mungkin jika boleh sebelum bayi dilahirkan lagi supaya ibu dapat menyediakan fisiologi dan hormon dalam badan sama seperti ibu yang baru sahaja melahirkan anak.

Jika ibu tidak sempat membuat persediaan sebelum bayi lahir, usah khuatir. Ibu masih berpeluang menyusukan anak angkat selepas kelahiran.

Jika bayi sudah lahir atau berusia lebih dari 1 bulan:

1. Dapatkan preskripsi dari doktor untuk ubat tertentu yang membantu mempercepatkan penghasilan susu seperti Domperidone. Aturan dan dos pengambilan hendaklah atas nasihat dari doktor.

2. Mula mengepam sekerap setiap 2 jam. Buat permulaan, 1 sesi mengepam hanya 10 hingga 15 minit sahaja sehingga susu mula keluar. Berikan diri ibu masa dalam 2 hingga 3 minggu untuk menghasilkan susu. Gunakan double electric breast pump untuk rangsangan yang setara untuk kedua-dua belah payudara.

3. Ibu lebih digalakkan untuk terus mula menyusukan bayi dari payudara ibu walaupun susu masih belum keluar. Pastikan bayi dapat melekap dengan betul. Ini kerana hisapan bayi lebih efektif dalam merangsang penghasilan susu ibu.

3. Gunakan Supplemental Nursing System untuk membantu merangsang penghasilan susu semasa bayi menyusu terus dari payudara ibu. Dengan cara ini, bayi masih boleh mendapat susu dari tiub pada masa yang sama hisapan bayi merangsang kelenjar susu bekerja untuk hasilkan susu.

4. Susukan bayi di kedua-dua belah payudara ibu. Lakukan pemampatan payudara (breast compression) untuk membantu melancarkan aliran susu.

5. Elakkan penggunaan botol susu dan puting kosong (pacifier) sehingga bayi dapat menyusu dengan betul dan penghasilan susu ibu pada tahap optimum (cukup untuk bayi).

Bagi bayi yang berumur 6 bulan dan ke atas, jika bayi mengalami kesukaran untuk menyusu terus dari payudara ibu, lakukan seperti di bawah untuk merangsang bayi menyusu dari payudara:

1. Elakkan pemberian susu melalui botol susu. Bayi sudah boleh minum dari cawan (open cup). Elakkan juga penggunaan puting kosong.

2. Kerapkan melakukan sentuhan kulit-ke-kulit (skin-to-skin) bersama bayi. Ini termasuklah tidur dan mandi bersama bayi. Bayi dalam lampin sahaja dan ibu tidak memakai baju, bayi di dalam pelukan ibu. Teknik ini membantu menjadikan bayi lebih selesa dan menerima penyusuan dari payudara.

3. Elakkan memaksa bayi untuk menyusu dari payudara. Beri bayi masa untuk belajar menyusu dan menerima penyusuan terus dari ibu secara perlahan-lahan.





Tips tambahan untuk ibu angkat sebagai persediaan penghasilan susu:

1. Mula amalkan pemakanan sihat dan seimbang. Pastikan pengambilan karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan yang cukup setiap hari. Elakkan mengikuti diet yang terlalu ringkas dan tidak sihat.

2. Amalkan pengambilan air suam sekurang-kurangnya 3.5 liter sehari. Elakkan pengambilan kopi, teh dan air bergas yang mengandungi kandungan kafein yang tinggi.

3. Amalkan makanan penggalak susu yang boleh merangsang kelenjar susu dan menambah penghasilan susu ibu seperti kurma, habbatussauda, susu, oat dan sebagainya.



Di samping usaha yang berterusan, teruskan berdoa memohon rezeki dari Allah untuk menyusukan anak dengan lebih mudah dan mohonlah dari Allah untuk dikuatkan hati dan diri. InshaAllah semuanya atas izin Allah.


Cikgu doakan ibu-ibu ini berjaya menyusukan anak mereka selama yang boleh. Amin ya Rabbal alamin.




Zuain Ghani, Cikgu Susu
www.cikgususu.com


Rujukan:

1. Induced Lactation; Dr. Jack Newman's Guide to Breastfeeding.


Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

Nak Temujanji Konsultansi dan Bimbingan Penyusuan? Hubungi saya, Zuain Ghani: 0193841569 (Whatsapp/ Telegram / SMS/ Call) atau email zuainghani@gmail.com

Thursday 18 December 2014

NURSING IN PUBLIC (N.I.P.) : MAHU TAPI MALU

Beberapa minggu lepas Cikgu Susu terbaca satu artikel tentang Nursing in Public atau menyusu di khalayak umum.

Ibu semua pernah tak merasa leceh atau susah nak berjalan-jalan dengan bayi yang menyusu susu ibu? Ada terfikir perlukah bawa susu yang telah diperah dan terfikir macam mana nak panaskan susu itu nanti?

Ada rasa malu nak menyusu di khalayak umum? Pernah tak terjadi situasi begini?

Bila si comel menangis mahukan susu, kita mula mencari bilik menyusu (nursing room). Bila bilik menyusu penuh, kita panik. Kita mula keluarkan nursing cover untuk susukan bayi. Bayi pula dah tak tenang, menangis lebih kuat. Akhirnya, kita berserah, padamkan hasrat nak window shopping atau berjalan-jalan di shopping mall. Berjalan masuk ke tempat letak kereta dan menyusu dalam kereta.

Haaa... percaya tak? cikgu susu pun pernah mengalami situasi seperti ini. Tetapi apa yang menyebabkan pandangan dan sikap cikgu susu berubah adalah teguran dan sokongan dari suami cikgu susu sendiri. 

Kata beliau, "Buat apa nak malu-malu kalau kita tak buat perkara yang salah, hak anak kita perlu ditunaikan bila diperlukan."

Ibu, kita tak perlu malu untuk tunaikan hak anak kita walau di mana sahaja kita berada. Ini tanggungjawab kita ya ibu. Bayi akan lebih selesa menyusu terus dari kita dan bayi kita akan lebih tenang dan seterusnya mudah diuruskan.

Ibu-ibu perlu tahu definisi sebenar penyusuan di khalayak umum. Ia tidak bermaksud menyusu dengan mendedahkan keseluruhan bahagian payudara kita. Kita masih boleh menyusukan anak kita dengan memelihara aurat kita iaitu dengan sedikit bukaan di bahagian menyusu sahaja.

Ibu-ibu, susuilah anak kita walau dimana kita ketika itu. Pastikan sebagai seorang wanita muslim, kita masih memelihara aurat semasa menyusu, mendapat keizinan suami dan niat kita bukanlah untuk membanggakan diri kerana boleh dan mampu menyusukan anak kita.

Cadangan cikgu susu untuk memudahkan N.I.P atau penyusuan di khalayak umum dan pada masa yang sama ibu masih menjaga batas aurat ibu adalah:

1. Memakai nursing inner atau nursing camisole yang mempunyai akses di bahagian payudara dan areola sahaja. 

2. Memakai baju mesra menyusu (nursing friendly). Biasanya berbutang atau berzip di bahagian dada untuk memudahkan akses kepada penyusuan.

3. Menggunakan nursing cover atau selendang untuk menutup dada dari pandangan umum semasa menyusu.

4. Dalam sesetengah kes, bayi tidak sukakan nursing cover atau selendang, cikgu susu galakkan ibu memakai baju menyusu. Baju menyusu sendiri mempunyai akses penyusuan tanpa butang atau zip dan ada lapisan kain di bahagian dalam untuk mengelakkan pendedahan kulit badan atau payudara yang banyak.

5. Elakkan merasa panik, malu atau stress. Tahukah ibu bayi kita dapat mengesan perasaan dan emosi kita semasa dalam dakapan kita. Bila ibu stress, penyusuan takkan berjalan dengan lancar dan kerana bayi kita juga menjadi tidak tenang seperti kita.

Apa yang ibu perlu lakukan? Bertenang dan senyum selalu. Bayi kita pun akan turut merasa gembira disusukan.

Cikgu susu sendiri lebih gemar memakai baju menyusu, kerana akses yang lebih mudah dan dapat menyusu dengan lebih discreet. Anak-anak cikgu susu pula memang tidak suka menyusu dengan nursing cover atau selendang. Jadi sejak menyusukan anak, cikgu susu ada hobi baru, iaitu suka mengumpul baju-baju menyusu.

Jom kita menyusu, kalau kita mahu, tepikan malu itu ya.

Semuanya akan lebih senang jika kita sendiri memudahkan caranya. InshaAllah.


.


Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
www.cikgususu.com



Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

Nak Temujanji Konsultansi dan Bimbingan Penyusuan? Hubungi saya, Zuain Ghani: 0193841569 (Whatsapp/ Telegram / SMS/ Call) atau email zuainghani@gmail.com


Friday 5 December 2014

BAYI MAHU MENYUSU DI SEBELAH PAYUDARA SAHAJA?

Apabila bercakap tentang menyusukan bayi, tak lengkap kalau tak sentuh bab posisi semasa menyusukan bayi. Tahukah ibu bukan posisi bayi sahaja yang perlu dititikberatkan, tetapi posisi ibu juga.

Teringat kisah penyusuan anak sulung saya dahulu, Aariz. Kami (saya dan suami) masih muda ketika itu, ilmu penyusuan sangatlah terhad, sehinggakan cara memegang bayi semasa nak menyusu pun kami tak tahu. Maka bermulalah adegan: "awak tengok saya, saya tengok awak, baby Aariz menangis.."

Jadi, suka untuk saya tekankan kepada ibu yang kita perlu belajar dan tahu cara memegang bayi dan posisi yang betul dan selesa kerana perkara ini akan memastikan penyusuan berjalan dengan gembira.

Selain itu, kita dapat menyelesaikan masalah penyusuan tertentu dengan menukar dan memvariasikan posisi semasa menyusu.




Berikut adalah contoh beberapa posisi semasa menyusu yang biasa kita amalkan.

Posisi yang paling saya suka dan sarankan untuk ibu biasakan adalah POSISI FOOTBALL HOLD, atau dikenali juga dengan clutch hold. Posisi ini biasa digalakkan untuk ibu yang bersalin secara pembedahan supaya tidak menekan perut (bahagian luka pembedahan), untuk ibu yang melahirkan kembar dan amat sesuai untuk tandem pumping (sebelah menyusu, sebelah mengepam).

Football hold juga inshaAllah efektif dalam membantu bayi yang mempunyai masalah mahu menyusu di sebelah payudara sahaja. Mahu tahu caranya, tonton video di bawah ya:





Posisi Ibu semasa menyusu

1. Pastikan ibu dalam keadaan selesa dan seeloknya dalam keadaan bersandar.
2. Bawakan bayi ke dalam pelukan ibu, bukannya payudara ke arah bayi (BABY TO BREAST, NOT BREAST TO BABY).

Posisi Bayi semasa menyusu

1. Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa.

2. Bayi memusingkan keseluruhan badannya (kepala, badan dan punggung) semasa menyusu dan tidak memusingkan kepala dan leher sahaja.

3. Buka kain bedung bayi (jika bayi dalam bedungan), untuk memastikan kedudukan anggota badan bayi yang betul sebelum menyusu.

Kedudukan kita dan bayi yang betul semasa menyusu akan mengelakkan kita mengalami masalah luka puting atau sakit belakang semasa menyusu. Bayi juga akan dapat menyusu dengan selesa dan mendapat susu yanhg cukup untuk tumbesarannya.

Banyak lagi info penyusuan akan saya kongsikan dalam post seterusnya. Teruskan membaca!




Salam Cinta Susu Ibu,
Ain,
Cikgu Susu Anda
www.cikgususu.com




.


Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow